
“Alang, result ujian darah Jai dah keluar. Jai disahkan Leukimia. Esok Jai akan dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 di Kota Kinabalu untuk rawatan susulan”. Saya terdiam kelu. Hanya terpacul lafaz Allah sahaja menghela nafas.
Sudah hampir dua bulan Ustaz Zainey menderita sakit yang tidak diketahui punca. Tidak boleh tidur malam. Makan sahaja terus muntah. Pening berterusan. Adakala tidak boleh berjalan kerana saraf bahagian kakinya berdenyut teruk sampai ke tulang. Badannya susut sehingga hilang hampir 15kg. Pelbagai cara rawatan telah dicuba. Hari ini segalanya terjawab. Allahu Akbar!.
Ustaz Zainey sangat dikenali sebagai aktivis yang sangat komited dalam usaha dakwah khususnya di kawasan pedalaman bersama Yayasan Amal Malaysia. Beliau juga adalah salah seorang guru di Tahfiz Akademi Al-Quran Amalillah. Seorang yang sangat disayangi dan disenangi oleh para pelajar dan ibu-bapa.
Selepas diuji kematian bapanya kerana covid tahun lepas, dan ibunya kerana kanser tahun ini. Ustaz Zainey juga menanggung adik-adiknya.
Kini beliau diuji lagi dengan ujian yang tidak disangka-sangka. Sudah hampir dua bulan beliau tidak mampu berkerja dengan baik. Kini dengan ujian terbaru ini, beliau pasti memerlukan belanja yang banyak untuk rawatannya dan urusan kehidupan adik-beradiknya yang lain.
Semasa di Puchong, Ustaz Zainey sangat ringan tulang turun padang dan bertugas bersama anggota Jabatan Amal Puchong yang lain. Kawan rapatnya yang juga anggota Amal Puchong iaitu Ustaz Muhammad dan Faiz sering menemaninya di setiap program yang memerlukan khidmat tugasan anggota Amal.
Atas rasa tanggungjawab dan simpati buat Ustaz Zainey. Kami pihak Jabatan Amal Malaysia Kawasan Puchong membuka ruang sumbangan untuk meringankan beban beliau dan keluarganya.
Semoga barakah sumbangan tuan dan puan, beliau diberi kesegeraan dalam kesembuhan dan kembali berkhidmat untuk ummah.
Terima kasih di atas sumbangan dan perhatian tuan puan semua.